UJIAN SARINGAN COVID-19 PERCUMA MELALUI PSP PERKESO BERMULA 22 OKTOBER 2020

Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan) pada 20 Oktober 2020 telah mengumumkan bahawa semua pekerja yang perlu bertugas dalam semua industri di negeri-negeri yang terlibat PKPB diwajibkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

Sehubungan itu, PERKESO menawarkan ujian saringan COVID-19 melalui Program Saringan Prihatin bermula 22 Oktober 2020 kepada penacarum-pencarum di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Labuan. Pencarum yang pernah menjalani saringan PSP sebelum ini turut boleh menjalani semula saringan tersebut.

Kemudahan ini boleh menggunakan 2 kaedah iaitu Panel Perkhidmatan PERKESO atau Subsidi Saringan Prihatin. Temujanji ataupun tuntutan subsidi bagi saringan tersebut adalah terhad untuk dijalankan melalui majikan sahaja.

1. JANJITEMU BERSAMA PANEL PERKHIDMATAN

Majikan boleh menjalankan ujian saringan untuk pekerja melalui panel perkhidmatan yang dilantik oleh PERKESO dengan membuat janjitemu untuk saringan.  Majikan perlu menghubungi panel perkhidmatan PERKESO dengan merujuk Direktori Panel Perkhidmatan yang boleh didapati di laman sesawang psp.perkeso.gov.my. Majikan juga perlu mengemukakan borang Lampiran 1 yang lengkap kepada panel perkhidmatan bagi tujuan saringan tersebut. Saringan melalui panel perkhidmatan ini adalah PERCUMA dan  ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO.

2. SUBSIDI SARINGAN PRIHATIN

Bagi majikan yang ingin menggunakan kemudahan PSP melalui Subsidi Saringan Prihatin, saringan COVID-19 boleh dijalankan melalui makmal selain daripada panel perkhidmatan PERKESO. Kos saringan hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu. Majikan boleh mengemukakan permohonan untuk Subsidi Saringan COVID-19 melalui laman sesawang https://ssp.perkeso.gov.my/. PERKESO akan membuat bayaran balik subsidi sehingga RM150.00 bagi setiap pekerja yang telah menjalani saringan COVID-19. Resit bayaran (yang menyatakan nama pekerja yang menjalani saringan) dan keputusan saringan hendaklah disertakan.

MAKLUMAT LANJUT

Bagi mengelakkan risiko jangkitan sewaktu proses menjalani ujian, majikan dan pekerja perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Ujian juga perlu dijalankan secara temujanji sahaja bagi mengelakkan kesesakan. Ini turut mengelakkan pekerja beratur terlalu panjang dan lama.

Sebarang tuntutan untuk subsidi saringan COVID-19 yang diuruskan oleh pihak ketiga adalah dibawah tanggungan risiko majikan sendiri dan pihak PERKESO tidak akan bertanggungjawab diatas sebarang kerugian.

PERKESO berhak menamatkan program ini pada bila-bila masa yang difikirkan perlu oleh PERKESO. Sebarang pertanyaan berkenaan PSP atau Subsidi Saringan COVID-19 boleh dipanjangkan kepada PERKESO melalui emel hsp@perkeso.gov.my atau melalui talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089.