MORATORIUM DILANJUTKAN BAGI YANG MEMERLUKAN – GABENOR BNM

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata semua yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 akan menerima bantuan dan menafikan salah tanggapan mengenai bantuan bayaran balik pinjaman bersasar.

“Salah tanggapan umum ialah tanpa moratorium menyeluruh, peminjam yang dalam kesusahan tidak akan menerima bantuan (sebaliknya) bantuan itu adalah untuk semua yang terjejas akibat pandemik itu termasuk lanjutan moratorium,” katanya.


Individu yang kehilangan pekerjaan terutamanya dalam sektor pelancongan telah menerima moratorium menyeluruh selama tiga bulan dan lanjutan akan diberikan sekiranya mereka menganggur.

Beliau berkata, bantuan itu dikekalkan untuk mereka yang memerlukan dan peminjam mempunyai pilihan kepada lebih banyak penyelesaian khusus untuk disesuaikan mengikut keperluan kewangan mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa permohonan bagi semua bantuan bayaran balik pinjaman bersasar sebelum 30 Jun 2021 tidak akan terpapar dalam rekod CCRIS peminjam.