Pada perlawanan UFC 254 yang berlangsung pagi tadi, Khabib Nurmagomedov bertemu dengan pencabar beliau iaitu Justin Gaethje untuk merebut gelaran juara UFC kategori Lightweight.
Khabib telah mengalahkan Gaethje pada minit ke 1:14 di Pusingan kedua dengan triangle chock yang memaksa Gaethje untuk menyerah. Khabib sekaligus mencipta sejarah menang kesemua perlawanan tanpa kalah sebanyak 29-0.
Dalam temuramah selepas perlawanan tersebut, Khabib telah mengumumkan bahawa perlawanan itu adalah yang terakhir dan bersara dari UFC.
“Tidak mungkin saya datang ke sini (gelanggang oktagon) tanpa bapa saya selepas apa yang terjadi terhadap bapa saya” ujarnya.
“Apabila UFC menghubungi saya mengenai Gaethje dan saya bercakap dengan ibu saya. Dia tidak ingin saya bertarung lagi tanpa bapa saya.Saya beritahu ini adalah perlawanan terakhir saya. Apabila saya bercakap, saya akan menunaikannya”, kata Khabib.
Khabib turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan beliau, Presiden UFC dan juga lawan beliau iaitu Justin Gaethje.