“Kerajaan Perlu Iktiraf Hak Pelarian” menurut pendapat CAP.
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan cadangan beberapa pihak di Malaysia supaya menghalang dan mengusir pelarian Rohingya yang berada di Malaysia.
Malah ada segelintir rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga ahli politik turut menentang penempatan orang Rohingya di Malaysia.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, pelarian berkenaan sudah melarikan diri fari negara asal kerana nyawa terancam dan mengusirnya adalah sama seperti menjatuhkan hukuman mati.
Katanya, alasan prejudis yang diberi adalah pelarian Rohingya bersifat kotor, biadap, tidak menghormati budaya Malaysia dan menuntut bagi mendapatkan kewarganegaraan.
“Memang tidak adil bagi kita menjatuhkan hukuman ke atas kesemua pelarian itu kerana kelakuan buruk segelintir daripada mereka, malah dalam sesuatu kelompok manusia, mesti ada yang berkelakuan baik dan juga buruk.
“Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya sebagai pelarian tetapi sebagai pendatang tanpa izin ataupun orang yang tidak mempunyai kewarganegaraan,” katanya kepada NSTP, hari ini.
Mengulas lanjut Mohideen berkata, kebanyakan pelarian Rohingya di Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa mereka menghargai peluang menjadikan Malaysia sebagai kediaman sementara dan hanya mahu pulang ke Myammar atau menetap di negara ketiga.
Katanya, mereka bukan sahaja perlu menghadapi sikap ketaksuban sesetengah golongan rakyat tetapi juga tekanan mental dan emosi serta kebergantungan kepada jasa baik orang lain hingga menyebabkan kesukaran untuk hidup dengan baik.
Malah mereka juga tidak dapat bekerja secara sah di Malaysia serta tiada akses kepada sistem penjagaan kesihatan atau sistem pendidikan, dan ia memberi imej yang buruk dengan konotasi negatif.
“Jika kerajaan mengiktirafkan status pelarian, ia bukan sahaja memberi faedah kepada Rohingya tetapi kepada negara kita juga kerana mereka dapat bekerja secara sah dan hasil daripada itu, mereka akan membayar cukai serta menyumbang kepada masyarakat.
“Kanak-kanak pelarian juga boleh pergi ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan serta belajar bagaimana cara bersosialisasi,” katanya lagi.
Mengulas mengenai penularan Covid-19, Mohideen berkata, orang ramai tidak perlu bimbang bahawa penyakit berbahaya seperti itu akan merebak di kawasan yang mempunyai ramai pelarian Rohingya atau akan menyebarkannya kepada orang lain.
Katanya, mereka tidak akan berasa takut bagi mendapatkan rawatan perubatan apabila tidak sihat malah sebarang epidemik dapat dielakkan daripada berlaku sekiranya mereka mendapat rawatan yang sepatutnya.
Justeru CAP memohon supaya kerajaan mengiktirafkan status pelarian Rohingya dan juga pelarian dari negara lain yang menetap di Malaysia.
“Kerajaan juga perlu mengiktiraf hak mereka bagi bekerja, mendapatkan pendidikan dan akses kepada sistem kesihatan seperti yang termaktub dalam perjanjian antarabangsa, misalnya Konvensyen Pelarian 1951 atau juga diketahui sebagai Konvensyen Geneva.
“Sudah tiba masanya kita berhenti menghina mereka yang sudah dianiayai secara tidak adil oleh rakyat dan kerajaan mereka sendiri,” katanya.
Sumber : Harian Metro