KOTA KINABALU, 18 Okt – Pada sidang media mengenai perkembangan semasa wabak COVID-19 di Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin Manjun telah menyatakan bahawa terdapat 702 pertambahan kes positif di seluruh negeri Sabah menjadikan ia jumlah tertinggi setakat ini di negeri tesebut. Beliau berkata, jumlah tersebut amat serius tetapi boleh dikatakan tidak membimbangkan.
Masidi berkata demikian kerana terdapat di kalangan 702 kes itu adalah merupakan kes saringan yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Negeri Sabah pada awal bulan Oktober yang baru dikeluarkan hari ini.
“Kita andaikan bahawa jumlah ini akan terus meningkat dalam beberapa hari”, ujar beliau.
Tambahan beliau lagi, terdapat lebih kurang 11,000 kes yang masih tertunggak yakni menunggu keputusan saringan di bawah jagaan Kementerian Kesihatan Sabah.
Hospital-hospital di Sabah masih boleh menampung pesakit-pesakit dan semua keperluan di negeri Sabah termasuk beberapa buah bangunan di Sabah telah diubahsuai untuk dijadikan pusat kuarantin sementara.
Beliau turut menafikan bahawa Hospital Ranau telah kehabisan bekalan PPE dengan mengatakan ianya adalah palsu dan semua kelengkapan masih cukup dan Hospital-hospital di Sabah masih mampu untuk menguruskan kes-kes COVID-19 di Sabah.