PADA Feb lalu, sejarah terjadi apabila berlakunya kemelut politik yang pada ketika itu Tun Dr. Mahathir bin Mohamad meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Ramai mengatakan bahawa Tun Mahathir melakukan demikian kerana desakan Ahli Majlis Tertinggi Pakatan Harapan agar beliau meletakkan jawatannya dan memberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti perjanjian yang termeterai.
Namun, Tun M menolak kenyataan itu dan mendakwa bahawa beliau adalah seorang yang mengotakan janji selepas tiba masanya.
Terbaru, beliau menulis postingĀ di akaun Facebook milik beliau menceritakan apa yang telah terjadi ketika itu.
Ini adalah antara kenyataan beliau :
Pada 23hb Februari saya telah beritahu kepada Muhyiddin bahawa perancangannya untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan perlu ditangguh kerana PH masih sokong saya sebagai Perdana Menteri.
Apabila Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersidang selepas pertemuan saya dengan Muhyiddin dan rakan-rakannya, saya merayu supaya ditangguh cadangan Bersatu untuk keluar dari PH. Saya syor supaya Bersatu tunggu dan lihat akan perlakuan PH.
Pendek cerita Majlis tolak syor saya dan setuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dengan serta-merta. Ada yang tumbuk meja dan dengan lantang sokong Muhyiddin untuk keluar dari PH.
Bagi saya ini adalah keputusan muktamad. Ia merupakan kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi parti sudah tidak ada. Keputusan itu juga bermakna Bersatu sudah keluar dari Pakatan Harapan dan Kerajaan PH sudah jatuh.
Sepanjang malam itu saya memikir akan kedudukan saya. Kehilangan kepercayaan kepada saya bermakna saya tidak lagi boleh menjadi Pengerusi Bersatu. Jika saya tidak lagi Pengerusi Bersatu dan PH tidak lagi Kerajaan, saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.
Pada malam itu Muhyiddin Yasin bersama pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS telah berada di Hotel Sheraton. Kesanggupan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu berada bersama dengan musuh Pakatan Harapan bermakna bahawa rancangan menubuh Kerajaan Perikatan Nasional sudah jadi kenyataan.
Saya buat keputusan untuk isytihar bahawa saya sudah letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri. Walaupun ada ura-ura bahawa saya akan diterima oleh gabungan Muafakat dan Bersatu sebagai Perdana Menteri, saya tidak dapat terima kerana penjenayah-penjenayah UMNO akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan yang saya akan pimpin.
Peletakan jawatan Perdana Menteri oleh saya tidak ada kena mengena dengan cadangan Pakatan Harapan supaya Anwar ambil alih jawatan Perdana Menteri selepas saya letak jawatan. Dengan Bersatu dan puak Azmin Ali keluar dari Pakatan Harapan, Pakatan Harapan sudah tidak lagi jadi Kerajaan dan saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.
Yang akan jadi Perdana Menteri ialah orang yang dapat majoriti apabila pengakuan oleh ahli Yang Berhormat dihadapan Yang di-Pertuan Agong diadakan.
Sumber : Facebook Dr. Mahathir bin Mohamad